Sekolah ini ditubuhkan pada tahun
1911 dengan dikenali sebagai Sekolah Melayu Temai di bawah pentadbiran Nazir
Sekolah Maran. Jumlah murid pertamanya ialah seramai 17 orang yang terdiri
daripada anak-anak penduduk Kampung Temai Hulu, Temai Tengah, Temai Hilir,Kampung Jarau dan Kampung Tentawan. Hanya seorang
guru yang ditugaskan mengajar dan mentadbir sekolah pada masa itu dan beliau
merupakan guru pertama di sekolah ini iaitu Encik Abdullah bin Hussin.
Bangunan asalnya merupakan sebuah
rumah kayu beratapkan rumbia.Ianya
terletak berhampiran Sungai Pahang iaitu di tapak Pusat Kesihatan Temai sekarang ini. Dalam tahun
1922, sekolah ini berpindah ke tapak sekarang.Jumlah muridnya telah meningkat
seramai 40 orang.Sebelum banjir besar pada tahun 1926, bangunan baru
bertiangkan batu telah didirikan.Bangunan ini digunakan dalam jangkamasa yang
agak lama walaupun dalam keadaan yang agak uzur sehinggalah dirobohkan
sepenuhnya pada 16 Februari 2003.
Ekoran daripada perkembangan semasa dan kepesatan pembangunan
dalam bidang pedidikan, bangunan-bangunan tambahan telah didirikan bagi
menampung pertambahan pelajar. Dalam tahun 60an dan diawal 70an, Sekolah
Menengah Temai telah diwujudkan di sini dengan menggunakan bangunan yang sama
pada sesi petang. Jumlah pelajar pada ketika itu telah mencecah seramai 200
orang. Walaubagaimanapun, dengan berlakunya perkembangan yang pesat di daerah
Pekan khasnya pembukaan FELDA, ramai penduduk kampung tradisional ini turut
berpindah terutamanya generasi kedua untuk mencari taraf kehidupan yang lebih
baik. Sejumlah kecil sahaja penduduk khususnya golongan tua masih tinggal di
kampung-kampung tradisional ini dan ini menyebabkan kemerosotan bilangan
pelajar di sekolah ini semakin ketara.
Pada penghujung tahun 1993, sekolah ini telah mendapat satu blok
bangunan baru yang mengandungi 6 bilik darjah dan pada waktu itu jumlah pelajar
yang ada seramai 136 orang. Bilangan ini bertambah kepada 147 orang pada tahun
berikutnya. Peningkatan ini adalah kerana bertambahnya kemasukan
pelajar-pelajar di kalangan orang Asli dari kawasan Perkampungan Permatang
Siput hingga ke hari ini. Seramai 19 orang guru besar telah bertugas di sekolah
ini dari tahun 1912 sehingga 2008.
Pada masa sekarang, sekolah ini mempunyai 1 blok bangunan
yang menempatkan 3 bilik darjah,
pra-sekolah, kantin, pusat sumber, bilik kokurikulum, surau dan bilik j-QAF . Selain
itu, terdapat 1 blok bangunan batu 2 tingkat, 1 blok bangunan batu tambahan 1
tingkat, 1 blok pondok jaga dan sebuah Makmal Komputer di sekolah ini. Makmal komputer ini telah dibina pada
penghujung tahun 2007 dan semua peralatan komputer telah dilengkapkan
sepenuhnya pada bulan Oktober tahun 2008.
Sehingga kini, SK Temai mempunyai pelajar seramai 189 orang dengan
tenaga pengajar seramai 18 orang dan 5 pegawai sokongan. Adalah menjadi harapan
semua warga SK Temai dan masyarakat setempat agar sekolah ini akan terus
melakar kecemerlangan dan kegemilangan selaras dengan hasrat Falsafah
Pendidikan Negara. Oleh yang demikian itu, adalah menjadi tanggungjawab semua
pihak untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi merealisasikan harapan tersebut.
No comments:
Post a Comment